Home Fokus Nasional JAHIL DALAM ILMU

JAHIL DALAM ILMU

799

 

Nur Fatin Adila Binti Idereh

Mahasiswa Fakultas Syariah dan Hukum

UIN Ar-Raniry Banda Aceh

 

“Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan wang dinar atau dirham. Sesungguhnya mereka hanya mewariskan ilmu.”

(Hadis riwayat Tarmizi dan Abu Daud)

 

Kejahilan ilmu adalah bencana buat umat Islam. Di mana-mana sekali pun kita akan berjumpa dengan orang-orang yang dikategorikan sebagai jahil.

Menurut para ulama maksud jahil adalah orang Islam yang tidak tahu tentang ajaran agama Islam. Kedua, orang islam yang berpelajaran tetapi jahil dalam ilmu dan ajaran islam. Ketiga, golongan yang tahu tentang ajaran Islam tetapi tidak mengamalkannya. Keempat adalah masyarakat yang bukan beragama Islam.

Manakala ulama membahagikan jahil ini kepada dua iaitu Jahil Basith dan Jahil Murakkab. Jahil Basith adalah kejahilan yang tidak membawa kemudharatan kepada orang lain. Jahil ini lantaran kekurangan pengalaman dan kekurangan akal.

Jahil begini andai diberi teguran atau peringatan terus diubah perbuatannya lantaran karena batinnya yang masih suci. Adapun jahil Murakkab adalah kejahilannya memberi kemudharatan kepada orang lain. Ibn al-Qayyim menyatakan, “Jahil murakkab itu adalah tokoh-tokoh pegangannya adalah bathil”.

Jahil ini berbahaya karena makin diberi peringatan malahan makin bertambah kejahilannya dan disebarkan pula kepada orang lain, lantaran karena kesombongan dirinya.

Dalam erti kata yang sebenar jahil murakkab ini adalah bodoh sombong. Jahil inilah yang banyak menyebabkan porak-peranda dan kemusnahan masyarakat Islam, karena itu Islam amat menitik beratkan tentang ilmu pengetahuan.

Tanpa ilmu pengetahuan, individu, masyarakat, bangsa dan negara akan mundur dan akan ketinggalan dalam semua bidang dan lapangan. Sejarah membuktikan kedatangan Islam telah merubah dunia daripada dibelenggu kejahilan kepada zaman kegemilangan dan kemunduran kepada era kemodenan.

Oleh yang demikian, Islam mewajibkan umatnya menutut ilmu pengetahuan agar hidup berjaya di dunia dan akhirat.

Ilmu adalah memahami sesuatu dengan jelas pada syarak, dan ilmu itu hendaklah ilmu yang bermanfaat dan membawa kebaikan. Negara amat memerlukan masyarakat yang bukan sahaja mempunyai ilmu pengetahuan dlam pelbagai bidang malahan ia mencakupi aspek iman serta akhlak pribadi yang tinggi dalam setiap jiwa individu. Allah taala berfirman dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud :

“Allah meninggalkan orang-orang beriman diantara kamu, dan juga orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (dalam kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah maha mendalam pengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan”.

Al-Quran dan Hadis menjadi teras utama dalam mendapatkan ilmu pengetahuan karena ajaran Islam bersifat syumul dan menyeluruh dalam segala aspek kehidupan.

Ia bukan hanya memberi focus kepada ibadah semata tetapi mencakup sudut ekonomi, sosial, dan juga akhlak. Menjadi tanggungjawab masyarakat Islam untuk menggali pelbagai ilmu pengetahuan yang terkandung dalam al-Quran dalam usaha mewujudkan ummah yang mengamalkan cara hidup Islam dan keluar dari kepompong kejahilan.

Pada masa kini, menunjukkan banyak pihak sangat teruja untuk memperkatakan berkenaan isu yang menyentuh hal ehwal agama.

Masing-masing seolah-olah ‘mahu’ mempamerkan keilmuan sendiri, malah tidak kurang juga orang awam yang bukan ahli dalam bidang agama turut terjebak dalam isu agama sehingga menimbulkan kekeliruan pada pemahaman masyarakat awam.

Golongan jahil murakkab mula menunjukkan diri dengan memberi ulasan sendiri tentang isu semasa melalui forum, facebook, instagram live dan banyak lagi dalam media sosial.

Mereka mengeluarkan hukum dan fatwa sendiri dengan hanya berpandukan al-Quran dan Hadis secara zahir ayat tanpa mempelajari ilmu-ilmu alat daripada guru yang melayakkan mereka mengeluarkan hukum dan fatwa sendiri.

Kebanyakannya juga tidak mempelajari ilmu fiqh secara talaqqi yang membolehkan mereka mengetahui sesuatu hukum yang telah dikeluarkan oleh ulama.

Golongan sebegini juga banyak disokong oleh netizen, mungkin karena hukum yang dikeluarkan oleh golongan jahil murakkab ini sesuai dengan selera netizen berbanding hukum hakam yang dikeluarkan oleh para ulama.

Antara golongan yang suka mengeluarkan fatwa sendiri adalah para artis yang baru berhijrah. Mereka lebih suka mengulas isu semasa daripada belajar tentang hukum hakam dan di sebabkan mereka ramai follower, ramai yang mengikuti apa yang mereka katakan. Netizen juga lebih suka bertanyaan soal hukum kepada mereka daripada bertanya kepada alim ulama.

Bukan itu sahaja, sebahagian pendakwah juga gigih mencari populariti dan sanggup melakukan apa saja untuk menjual dirinya demi memuaskan nafsu duniawi mereka dengan menyebarkan hukum yang luar biasa dalam kalangan masyarakat.

Inilah antara sebab kerosakan masyarakat yang semakin nyata. Semuanya mahu menjadi ulama segera. Karena itu masyarakat perlu menjauhi individu yang jahil murakkab sebegini.

Golongan yang jahil sebeginilah yang menyesatkan diri sendiri dan orang lain. Kata-katanya kelihatan indah, perlakuannya kelihatan sangat beradab padahal dialah duri dalam daging, sesat lagi menyesatkan.

Masyarakat dilarang untuk bertanyakan tentang masalah agama kepada orang yang bukan ahlinya. Dari Amru bin al-As, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu secara sekali gus daripada hamba-hamba-Nya, tetapi mengangkatnya dengan cara mematikan ulama sehingga tidak ada lagi orang alim, orang ramai mengangkat pemimpin yang jahil (menjadi pemimpin mereka). Pemimpin itu ditanya mengenai sesuatu isu, lalu mereka mengeluarkan fatwa tanpa berdasarkan ilmu. Mereka menjadi sesat dan menyesatkan orang lain.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Selain itu, Allah swt berfirman dalam surah Al-Nahl ayat 43, yang bermaksud :

“Dan tidak kami mengutuskan Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhmmad) , melainkan dari kalangan orang-orang lelaki yang kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui”.

Selain itu, berlakunya percampuran mazhab atau dikenali sebagai talfiq mazhab iaitu menghimpun atau mencampur adukkan mazhab dalam satu-satu masalah sehingga melahirkan satu bentuk hukum baru atau konsep tertentu hasil dari percantuman dari dua mazhab itu.

Perkara ini juga berlaku akibat kejahilan dalam ilmu. Sekiranya perkara ini tidak dibendung, dibimbangi perkara ini akan tergelincir dari permasalahan fiqh kepada talfiq dalam permasalahan akidah yang boleh menyebabkan wujudnya pelbagai ajaran sesat.

Khilaf mazhab bukan tidak boleh dibicarakan tetapi biarlah berpada-pada dalam meraikannya tambahan lagi dalam memberi pendidikan kepada masyarakat awam. Dalam membicara tentang agama, hendaklah dilihat kepada kesesuian keadaan, adat, mazhab utama sesuatu negara, dan keadaan rakyat, selain keperluan menjaga akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Masyarakat kita terlalu terbuka akibat kejahilan dalam diri sehingga gerakan Wahabi, Syiah, Liberal dan Sekular mudah masuk ke dalam negara yang sebenarnya berpunca daripada diri sendiri yang tidak menapis sebarang fahaman yang menyeleweng daripada ASWJ.

Antara contoh talfiq mazhab yang semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat adalah mereka berwuduk berdasarkan mazhab Syafie, tetapi apabila suami dalam wuduk tersentuh isteri, mereka mula berpegang epada mazhab Hanafi iaitu wuduk tersebut tidak batal. Sedangkan dalam mazhab Syafie wuduk itu batal.

Dr Wahbah Zuhaili menyatakan talfiq yang dilarang terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:

1. Sengaja mencari yang mudah-mudah iaitu dengan mengambil dari setiap mazhab mana yang lebih mudah tanpa darurat dan uzur. Ini dilarang karena ia boleh membawa kepada terungkai ikatan dan taklif Syar’iy. Lebih-lebih lagi mencari yang mudah dengan tujuan suka-suka dn mengikut hawa nafsu.

2. Talfiq yang memastikan pembatalan hukum atau keputusan hakim adalah dilarang karena keputusan hakim berfungsi menghapus yang khilaf atau mengenepikan perselisihan bagi tujuan menolak kucar-kacir dan kecelaruan.

3. Talfiq yang memastikan ditarik balik (rujuk) dari amalan yang telah ditqlid atau dari sesuatu yang diijma’ yang melazimkan atau mengikat perkara yang ditaqlidkannya. Contoh, kalau seseorang itu bertaqlid mazhab Hanafi tentang nikah tanpa wali, maka akad nikah itu melazimkan sah talaq, karena sah talaq itu sesuatu yang lazim bagi sah nikah, ertinya apabila sah nikahnya maka sahlah talaqnya berdasarkan kepada ijma’. Kalaulah dia menceraikan isterinya dengan talaq tiga kemudian dia hendak bertaqlid dengan mazhab Syafie tentang tidak jatuh talaq itu karena nikah tanpa wali, maka haram talfiq seperti itu karena ia merupakan sebagai rujukan (menarik balik) dari taklid dalam perkara yang lazim dengan ijma’.

Ilmu itu cahaya yang mampu menghilangkan kegelapan dan kejahilan dalam diri. Jika mahu memberi pandangan kita sendiri terhadap hukum hakam, perlu lihat semula siapa diri kita. Jika kita sendiri tidak mampu menguasai ilmu-ilmu alat, tidak hafaz al-Quran dan hadis, jangan harap kita layak dan mampu untuk mengeluarkan fatwa hukum semasa. Oleh itu, jadilah kita tholibul ilmu terlebih dahulu agar kita dapat membendung diri sendiri dari kejahilan yang nyata, menghilangkan kedegilan dengan beramal berdasarkan kaedah yang betul dan dapat melihat keindahan Islam serta dapat memperjuangkan Islam dengan hikmah dan cara terbaik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here