Home Fokus Nasional HANTAM BARU SEMAK

HANTAM BARU SEMAK

282

Oleh ; Nur Fatin Adila Binti Idereh

Mahasiswa Fakultas Syariah dan Hukum

UIN Ar-Raniry Banda Aceh

 

Zaman era teknologi kini, masyarakat makin biadab dan kurang beradab walau dengan sesiapa pun dan di mana sahaja hatta didalam media sosial.

Mereka lebih suka menghantam daripada bersikap terbuka. Ini lah yang makin bermaharajalela dalam diri individu di dalam masyarakat sama ada mereka golongan politikus, agamawan, akademik, atau siapa sekali pun.

Manusia biasa memang sering melakukan kesilapan dalam menjalani kehidupan, karena mereka bukan maksum seperti para Nabi, tetapi bukan bermakna masyarakat boleh bersikap terus menghukum selepas mengetahui sesuatu tanpa memeriksa kesohehan perkara tersebut.

Fenomena penularan dan perkongsian maklumat makin menjadi trend dalam kalangan pengguna media sosial baharu. Ia melibatkan pelbagai kategori maklumat antaranya berita jenayah, tragedi, kemalangan, hukum-hakam agama dan lain-lain malahan ada juga unsur tokok tambah dan pemalsuan.

 

Belbagai berita yang diperolehi melalui media sosial seperti facebook, whatsapp, twitter dan lain-lain, menjadi bertambah keruh apabila adanya golongan masyarakat yang menjadikan gossip dan aib serta kehormatan manusia lain sebagai alat perdagangan untuk mendapatkan lebih ramai follower demi kepentingan dunia.

Check dan recheck adalah perkara yang mula dilupakan oleh masyarakat dalam media sosial atas sebab masing-masing merasa diri seolah-olah mengetahui segala sesuatu lebih-lebih lagi tentang aib orang tanpa memikirkan dosa yang sering berlegar di hujung jari.

Maklumat-maklumat yang diperolehi oleh masyarakat semakin susah ditapis dan dipastikan kebenarannya apabila page-page yang ada dalam facebook memuat naik perkara yang sama yang boleh membawa kepada kebencian, permusuhan dan perselisihandalam masyarakat.

Dalam surah al-Hujurat ayat 6 yang bermaksud :

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa satu berita, maka bersungguh-sungguhlah mencari kejelasan agar kau tidak menimpakan sesuatu musibah kepada suatu kaum tanpa pengetahuan yang menyebabkan kamu atas perbuatan kamu menjadi orang-orang yang menyesal”.

Ayat ini selain mengarahkan umat Islam agar menyelidiki apa-apa berita yang mereka terima dibawa oleh seseorang, ia juga menggambarkan bahawa sifat seorang pembawa berita sudah diketahui iaitu perlu diambil berat sebelum berita yang dibawanya diselidiki dengan mengetahui kredibilitinya. Inilah yang dinamakan tabayyun.

Dalam mendepani ledakan maklumat dalam masyarakat, maka konsep tabayyun perlu dalam menapis dan mengetahui kesohehan sesuatu maklumat yang diterima.

Tabayyun berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud men“thabit”kan dan menyemak asas kebenarannya. Berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan dahulu kebenarannya dan ketepatan informasi bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti menfitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebenciaan.

Tetapi tidak semua berita atau maklumat yang perlu diteliti dan diperiksa hanya maklumat daripada sumber yang diragui sahaja yang perlu di ambil perhatian.

Syeikh al-Maraghi berkata, “Allah swt mendidik hamba-hambaNya yang mukmin dengan sifat sopan yang berguna bagi mereka dalam soal agama atau dunia.

Berhubung perkara ini, apabila mereka dihampiri oleh seseorang fasik yang terang-terangan meninggalkan syiar agama dengan membawa sesuatu berita hendaklah tidak terus mempercayainya sehingga betul-betul mendapat kepastian dan berusaha mengetahu perkara yang sebenarnya tanpa bersandar kepada ceritanya semata-mata.

Ini disebabkan orang yang tidak kisah melakukan kefasikan tertentu tidak kisah pula untuk berbuat dusta karena dusta memang termasuk cabang kefasikan.

Langkah ini diambil supaya jangan sampai orang mukmin menimpa bencana keatas kaum yang mereka tidak ketahui keadaan mereka, yang mana nanti mereka akan menyesal atas perbuatan yang mereka lakukan. Lalu mereka berangan-angan perkara ini tidak pernah berlaku”.

Perintah untuk “tabayyun” merupakan perintah yang sangat penting agar kita dapat mengelakkan dari berprasangka. Dalam al-Quran telah digariskan tentang beberapa panduan asas dalam penyampaian sesuatu berita, iaitu yang pertama sumber berita itu mestilah jelas dan berita itu di sampaikan oleh orang yang tidak diragui penyampaiannya.

Kedua, berita tersebut haruslah benar bukannya khabar angin semata. Ketiga berita tersebut mestilah bertepatan dengan fakta kejadian yang berlaku, bukannya ditokok tambah semata-mata untuk menyedapkan cerita dan menambahkan populariti.

Sikap terburu-buru dalam penyebaran berita atau maklumat yang tidak tahu kesohehannya amat dilarang dalam Islam yang boleh membawa kepada penyebaran berita palsu dan menjadikan masyarakat terbiasa dengan fitnah dan mengumpat.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

“Sikap bertenang itu dari Allah dan terburu-buru itu dari syaitan”.

Apabila masyarakat mengambil sikap sambil lewa dalam menyelidik sesuatu perkhabaran atau maklumat yang diterima, maka inilah yang menjadi hantam baru semak.

Mereka akan menghantam sesuka hati dalam laman sosial sehingga terjadinya cyberbully, barulah akan menyemak atau mengambil perhatian apabila berita tersebut diketahui bahawa ia tidak betul dan hanya gossip semata.

Sudah berapa banyak berita palsu dan fitnah yang tersebar disebabkan perangai masyarakat yang tidak tabayyun dalam menerima apa-apa maklumat sehingga menjatuhkan maruah dan harga diri seseorang individu.

Fitnah dan melaga-lagakan orang adalah penyakit yang cukup berat karena ia termasuk dalam dosa besar. Dalam al-Quran, surah al-Qalam ayat 10-11 telah menegaskan bahawa, “Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya). Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai)”.

Sehubungan dengan itu, wajib bagi setiap muslim untuk meneliti dan memberi perhatian terhadap kesahihan sesuatu berita yang diterima supaya ia tidak menjadi bahan fitnah serta tidak bersekongkol melakukan dosa besar.

Rasulullah saw bersabda, “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah? Sahabat menjawab: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Lalu baginda meneruskan sabdanya, “kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya”.

Lalu ditanya oleh seorang sahabat, “walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?”, Rasulullah saw bersabda, “ Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkata tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya”. (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Imam al-Ghazali menjelaskan bahwa membocorkan rahsia orang lain serta menjejaskan kehormatan diri orang itu dengan ara membuka rahsianya dianggap perbuatan mengadu domba dan fitnah.

Selain itu, Imam Ghazali menyenaraikan enam adab ketika menerima berita yang berunsur fitnah iaitu :

1) Jangan mudah percaya karena pemfitnah itu hanya menghilangkan kebenaran.

2) Melarang dan menasihati keburukan perilaku orang yang membawa berita fitnah itu supaya berhenti memfitnah karena perbuatannya itu mengundang dosa besar selain tidak mahu bersekongkol dengannya.

3) Membenci perbuatan pembawa fitnah itu karena Allah.

4) Jangan suudzon kwepada orang yang diberitakan itu.

5) Jangan ikut menyebarkan fitnah serta menjdi pengintip dengan membuka rahsia orang lain.

6) Jangan setuju dengan fitnah yang terlarang itu dan jangan menceritakannya.

Perbuatan mengumpat dan fitnah akan mendedahkan banyak keaiban manusia dan membenihkan kebencian dalam diri mesyarakat.

Daripada cerita asas, akan ditokok tambah untuk menyedapkan cerita dan untuk mendapatkan perhatian sehingga tersebarnya pelbagai berita palsu.

Sebarang penciptaan atau penyebaran berita palsu di dalam media sosial adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM 50,000 atau penjara setahun. Kemudian, bagi kes fitnah jenayah, boleh didakwa dibawah seksyen 499, 500, 501 dan 502 Kanun Keseksaan, dan dibawah Akta Hasutan 1948. Manakala bagi kes fitnah sivil boleh didakwa dibawah Akta Fitnah 1957.

Justeru, saya menyeru kepada masyarakat khususnya warga netizen agar menghentikan tabiat menghantam baru semak, karena ia adalah suatu kesalahan dan boleh didakwah.

Selain itu, ia juga akan menyebabkan perlakunya pepecahan dalam masyarakat. Ingatlah bahwa penyebaran yang tidak soheh itu fitnah, dan percakapan yang benar mengumpat, keduanya adalah dosa besar. Rasulullah saw bersabda :

“Sebenarnya orang yang muflis dalam kalanganumatku ialah mereka yang pada hari kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi ketika didunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, emakain harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang dizalimi akan mnerima pahala si penzalim. Jika pahala amalnya sudah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya ketika didunia kepda mereka yang tidak berdosa masih banyak, maka Allah swt akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah swt mencampakkannya ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Muslim).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here